Kata kata cinta.
http://katakatacintadc.blogspot.my/
Wednesday, 22 July 2020
Monday, 10 April 2017
Friday, 11 November 2016
Surah Al Baqara. Ayat 89-93.
Surah Al-Baqara
Dan
ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al-Quran), yang
mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka
sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir
musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah
datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi
Muhammad dan Al-Quran), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang
demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu. (89) Sejahat-jahat
perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan
dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh
Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya
(wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya
(iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka
mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu dan orang-orang yang kafir itu
akan beroleh azab sengsara yang menghinakan. (90) Dan
apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu kepada apa yang telah
diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)", mereka menjawab: "Kami
hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)".
Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian
daripadanya, padahal Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat
yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): Jika demikian mengapa
kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu
benar-benar orang-orang yang beriman?. (91) Dan
sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa
keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak
lembu sepeninggalannya dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah
orang-orang yang zalim. (92) Dan
(ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa
Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman):
Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada
kamu itu dengan bersungguh-sungguh dan dengarlah (apa yang diperintahkan
kepada kamu dengan mematuhinya). Mereka menjawab: Kami dengar dan kami
menderhaka. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah
mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka.
Katakanlah (wahai Muhammad): Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman
kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman. (93)
Surah Al Baqarah. Ayat 84-88.
Surah Al-Baqara
Dan
(ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: (Bahawa)
janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri dan
janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing.
Kemudian kamu telah berikrar akan mematuhi perjanjian setia itu dan kamu
sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya). (84) Kemudian
kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan
kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula
saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan
melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu
sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir
mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya
percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan
sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat
demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di
dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang
amat berat dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang
kamu lakukan. / (85) Mereka
itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan
kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa
kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab
seksa mereka (pada hari kiamat) dan mereka pula tidak akan diberikan
pertolongan. (86) Dan
sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat dan
Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul dan Kami
berikan kepada Nabi Isa Ibni Mariam beberapa mukjizat serta Kami
teguhkan kebenarannya dengan Rohulqudus (Jibril). Maka patutkah,
tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu
(kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan)
sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu
kamu dustakan dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya? (87) Dan
mereka (kaum Yahudi) berkata pula: Hati kami tertutup (tidak dapat
menerima Islam). (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah
telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka
sedikit benar mereka yang beriman. (88)
Friday, 7 October 2016
Subscribe to:
Posts (Atom)