Surah Al-Baqara
Dan
ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al-Quran), yang
mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka
sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir
musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah
datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi
Muhammad dan Al-Quran), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang
demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu. (89) Sejahat-jahat
perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan
dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh
Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya
(wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya
(iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka
mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu dan orang-orang yang kafir itu
akan beroleh azab sengsara yang menghinakan. (90) Dan
apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu kepada apa yang telah
diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)", mereka menjawab: "Kami
hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)".
Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian
daripadanya, padahal Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat
yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): Jika demikian mengapa
kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu
benar-benar orang-orang yang beriman?. (91) Dan
sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa
keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak
lembu sepeninggalannya dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah
orang-orang yang zalim. (92) Dan
(ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa
Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman):
Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada
kamu itu dengan bersungguh-sungguh dan dengarlah (apa yang diperintahkan
kepada kamu dengan mematuhinya). Mereka menjawab: Kami dengar dan kami
menderhaka. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah
mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka.
Katakanlah (wahai Muhammad): Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman
kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman. (93)